Pendapatan naik 80% guna teknologi fertigasi pintar

Berita Harian 27 Januari 2019 -Kuala Langat oleh Norhafzan Jaafar

Norhashim buktikan ‘Internet of Things’ mampu lipat gandakan pendapatan sehingga 80 peratus.

Langkah-langkah permulaan menuju pertanian pintar.

Apabila kerajaan menyarankan petani dan peladang kecil mempelbagaikan sistem pertanian bagi memaksimumkan hasil pengeluaran dan pasaran, mungkin ada yang mempersoalkan kesediaan golongan itu mengguna pakai dan mengadaptasi teknologi asing.

Namun, petani muda dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Selangor, Norhashim Kamisan, 35, sudah membuktikan peladang luar bandar bukan saja sudah bersedia memanfaatkan Internet of Things (IOT) tetapi mampu melipatgandakan pendapatan sehingga 80 peratus, berbanding ketika mula terbabit dalam penanaman cili, 13 tahun lalu.

Mampu Menguasai Teknologi Terkini

Meskipun sekadar memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Norhashim membuktikan dirinya mampu menggunakan teknologi terkini untuk meneruskan projek tanaman cili yang ketika di awal pembabitannya hanya dilakukan secara separuh masa. Malah, tiada dalam kalangan ahli keluarganya terbabit dalam bidang pertanian ketika beliau yang sebelum ini bekerja sebagai penghantar cepat (despatch rider), mengambil keputusan untuk menanam cili.

Sejak tahun lalu, Norhashim mengorak langkah lebih maju apabila dua daripada empat kebun cili miliknya, masing-masing seluas 1.2 hektar menggunakan teknologi fertigasi pintar yang membolehkan beliau mengawal dan memantau tanaman dari jarak jauh hanya menerusi telefon pintar.

“Semuanya bermula dengan hasil perbincangan dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menawarkan saya bantuan teknologi untuk dimanfaatkan dalam penanaman cili.

“Berdasarkan pengalaman terbabit dalam tanaman cili sejak 2006, masalah utama tanaman adalah untuk menjaga baja dan pengairan yang perlu dilakukan dengan membabitkan kos yang agak tinggi. Jadi, saya mahukan penyelesaian dalam masalah ini.

“Hasilnya tahun lalu MDEC membekalkan saya dengan mesin smart fertigasi atau fertigasi pintar ini yang hanya dikawal menerusi telefon pintar selain turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau ladang tanpa membabitkan tenaga kerja yang ramai,” katanya.

Kawal tanaman dari telefon bimbit

Norhashim berkata, mesin fertigasi bernilai RM16,000 itu bukan saja membolehkan beliau mengawal selia tanaman secara lebih praktikal tetapi dalam masa sama memberi maklumat penting tanaman secara berkala setiap hari tanpa memerlukan beliau berada di ladang.

Paling penting katanya, sistem pembajaan dan pengairan hanya digerakkan dari telefon bimbitnya yang disambungkan dengan perisian khusus tanaman di laman web.

“Jika sebelum ini sistem fertigasi atau pembajaan dan siraman tanaman di ladang digerakkan secara manual dengan sekurang-kurangnya tiga pekerja bagi setiap 6,000 polibeg tanaman diperlukan untuk berada di lokasi.

“Semuanya bagi tujuan pemeriksaan paras air tangki, menyukat baja dan membuka atau menutup suis injap bagi bekalan air serta baja, terus kepada tanaman.

“Tetapi mesin smart fertigasi yang saya gunakan ini boleh digerakkan dengan telefon bimbit tidak kira di mana berada walaupun sejauh Afrika Selatan asalkan tempat saya berada mempunyai sambungan internet,” katanya.

Pemantauan Terperinci & Notifikasi Auto

Teknologi berkenaan juga membolehkan beliau menetapkan waktu pemantauan ladang untuk membolehkannya mendapat notifikasi mengenai maklumat penting tanaman yang akan terus dihantar ke telefon bimbitnya dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap 15 minit sekali.

Antara maklumat berkenaan seperti amaran awal keadaan cuaca, suhu ladang, kadar PH tanah, kelembapan tanah dan kepekatan baja yang diperlukan bergantung kepada keadaan semasa.

“Jika keadaan cuaca panas atau kelembapan tanah kurang pada hari berkenaan saya akan mendapat mesej yang memaklumkan bahawa tanaman memerlukan air atau baja tambahan sebelum saya menghidupkan mesin tanpa perlu ke ladang.

“Malah, proses sukatan baja dan siraman menjadi lebih tepat berbanding jika menggunakan cara manual yang dilakukan tenaga manusia,” katanya yang mampu meraih pulangan bersih sehingga lebih RM20,000 seminggu bagi setiap 6,000 pokok.

Lebih penting lagi, setiap maklumat atau data tanaman disimpan dalam bentuk graf yang akan diterimanya dalam bentuk e-mel menjadikan urusan penyimpanan data ladangnya lebih tersusun dan sistematik sebagai rujukan bagi musim tanaman akan datang.

Malah, menurut Norhashim, beliau kini sedang berusaha menghasilkan sistem semburan racun serangga yang menggunakan teknologi hampir sama, tanpa penggunaan tenaga buruh.

Kejayaan Norhashim yang pernah menerima anugerah Ikon Agropreneur Muda (Kluster Tanaman Fertigasi Peringkat Kebangsaan) MAHA 2018 dan Anugerah Angroprenuer Tanaman Terbaik (Sayuran) Selangor Agrofest 2018 itu mendapat perhatian kerana beliau sering menjadi rujukan peladang PPK negeri lain dan pelawat luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *